318 POLIS JOHOR PERKUKUH KESELAMATAN PRN NEGERI SEMBILAN

JOHOR BAHRU – Seramai 318 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Kontinjen Johor digerakkan ke Negeri Sembilan bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, penugasan itu merupakan sebahagian daripada usaha PDRM memastikan keseluruhan proses demokrasi berjalan dalam keadaan aman, selamat dan teratur sepanjang tempoh pilihan raya.

Menurut beliau, daripada keseluruhan anggota yang dihantar, seramai 290 anggota akan melaksanakan tugas am, manakala 28 lagi merupakan anggota trafik yang akan membantu mengawal aliran lalu lintas dan pergerakan di lokasi-lokasi berkaitan PRN.

Katanya, anggota terbabit mula digerakkan hari ini dan dijangka terus bertugas sehingga dua hari selepas tamat proses pengundian bagi membantu Kontinjen Negeri Sembilan mengendalikan aspek keselamatan serta penguatkuasaan.

“Penugasan ini bukan sahaja melibatkan kawalan keselamatan di pusat-pusat pengundian, malah memastikan perjalanan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor dan Pelepasan Bantuan Sumber Manusia ke Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas turut berada dalam keadaan siap siaga di Johor dan akan digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

Ab. Rahaman turut mengingatkan semua anggota yang bertugas supaya mematuhi setiap arahan pegawai pemerintah, mengekalkan sikap profesional serta berkecuali sepanjang penugasan.

Beliau berkata, walaupun anggota yang terlibat datang daripada kontinjen dan formasi berbeza, mereka perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat utama memastikan keselamatan awam serta kelancaran proses pilihan raya.

Mengulas pengalaman mengendalikan PRN Johor sebelum ini, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas kejayaan memastikan pilihan raya di negeri itu berlangsung secara aman dan terkawal.

Menurutnya, sepanjang tempoh PRN Johor, polis menerima sebanyak 130 laporan dan membuka 27 kertas siasatan yang melibatkan pelbagai kesalahan termasuk khianat terhadap bahan kempen, kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan 1948.

PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini menyaksikan pertandingan bagi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memilih barisan wakil rakyat yang akan membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *