KOTA BHARU – Seorang gadis berusia 19 tahun ditemukan mati dalam keadaan tragis dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan di tepi jalan Kampung Simah, Ketereh, dalam kejadian yang mengejutkan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri mengesahkan jumlah sebenar tikaman adalah 61, bukannya 105 seperti yang tular di media sosial. Menurut beliau, kesan tikaman tersebut melibatkan bahagian muka hingga ke kaki, dengan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan mangsa.
“Siasatan forensik mendapati terdapat 61 kesan tikaman, tidak termasuk luka kecil atau kesan calar. Kes ini masih dalam siasatan dan motif kejadian belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang merupakan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu dipercayai keluar makan bersama dua suspek lelaki secara berasingan pada hari kejadian. Berdasarkan maklumat awal, mangsa keluar pada waktu siang bersama seorang suspek berusia 19 tahun sebelum dihantar pulang ke kediamannya.
Pada sebelah malam, mangsa dipercayai keluar semula bersama seorang lagi suspek yang disyaki individu utama dalam kes ini. Mereka dikatakan sempat makan di sebuah premis di Wakaf Bharu, Tumpat, sebelum mangsa memuat naik status di aplikasi WhatsApp sekitar pukul 11 malam.
Mayat mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira satu jam kemudian, pada pukul 12.30 tengah malam dalam keadaan menyayat hati.
Polis telah menahan empat individu bagi membantu siasatan, termasuk dua remaja lelaki berusia 19 tahun serta sepasang suami isteri warga emas yang dipercayai ibu bapa kepada salah seorang suspek. Kedua-dua remaja tersebut direman selama tujuh hari, manakala pasangan warga emas itu direman selama tiga hari.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, hubungan antara mangsa dan salah seorang suspek adalah sekadar rakan, dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung motif kejadian.
“Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti semua sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Buat masa ini, tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya.
Dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut, iaitu sebuah Honda City dan Perodua Bezza, turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Tragedi ini sekali lagi mengingatkan masyarakat tentang kepentingan keselamatan diri, khususnya dalam pergaulan harian, selain menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa gangguan spekulasi.
