PUTRAJAYA – Malaysia secara rasmi memperkenalkan tema ‘Raikan Perpaduan’ sebagai identiti Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 2027, sekali gus menzahirkan komitmen negara untuk memperkukuh semangat perpaduan serantau menerusi platform sukan apabila menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.
Pelancaran tema, logo rasmi dan maskot TUAH disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari pada majlis anjuran Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 di Putrajaya, hari ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, tema ‘Raikan Perpaduan’ dipilih bagi mencerminkan kekuatan Malaysia dan negara-negara ASEAN yang bersatu melalui semangat kesukanan, sekali gus mengeratkan hubungan rakyat serta atlet pelbagai negara dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Maskot TUAH pula diperkenalkan sebagai simbol generasi baharu Malaysia yang berani, dinamik, yakin dan mesra. Nama TUAH membawa maksud kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang dicapai menerusi usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan serta perpaduan.
Sementara itu, logo rasmi temasya menampilkan reka bentuk moden yang melambangkan kepelbagaian budaya, keharmonian serta aspirasi Malaysia sebagai negara progresif yang berperanan menyatukan ASEAN melalui sukan, di samping memiliki identiti visual yang mudah dikenali di pentas antarabangsa.
Menurut Dr. Taufiq, tema berkenaan bukan sekadar slogan, malah menjadi lambang semangat kebersamaan dan daya tahan yang perlu diterjemahkan oleh seluruh warga ASEAN sepanjang penganjuran temasya. Beliau berkata, logo dan maskot yang diperkenalkan turut menggambarkan keberanian, inovasi, semangat kesukanan serta aspirasi Malaysia sebagai negara moden berteraskan teknologi.
Malaysia dijadual menganjurkan Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, diikuti Sukan Para ASEAN Ke-14 pada 17 hingga 23 Oktober 2027, sekali gus menandakan kembalinya negara sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara selepas sedekad. Penganjuran itu dijangka menjadi platform memperkukuh hubungan serantau, merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi serta mempamerkan keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Selain menjadi medan persaingan atlet terbaik Asia Tenggara, penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka memberi limpahan manfaat kepada negara menerusi peningkatan sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS), di samping memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
