Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan keputusan mencalonkan Sharon Teo sebagai wakil Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sambil menegaskan beliau bukan calon ‘payung terjun’ seperti didakwa oleh sebahagian pimpinan parti di peringkat kawasan.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pencalonan Sharon dibuat secara teliti oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah selepas melalui beberapa proses tapisan dan perbincangan sebelum dimuktamadkan.
Menurutnya, Sharon bukan individu asing dalam parti kerana telah bergiat aktif bersama Amanah sejak 2018.
Malahan, Sharon juga pernah menyandang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Negeri Johor bagi sesi 2021 hingga 2023 sebelum dilantik sebagai Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Johor sejak tahun 2023.
Tambahnya lagi, pengalaman dan penglibatan aktif Sharon dalam parti membuktikan beliau mempunyai kelayakan serta kemampuan untuk mewakili Amanah dan PH di DUN Permas.
Maka, ia sekali gus menolak dakwaan bahawa beliau dibawa masuk tanpa asas yang kukuh.
Muhammad Faiz juga berkata, pemilihan Sharon yang juga anak jati Johor turut mencerminkan komitmen Amanah dalam mengangkat lebih ramai golongan muda dan wanita ke barisan kepimpinan politik negara.
Di mana ia selaras dengan aspirasi parti untuk membawa pembaharuan dalam landskap politik Malaysia.
Tambahan lagi, beliau menjelaskan bahawa pencalonan tersebut bukan sekadar mempertimbangkan faktor kemenangan pilihan raya semata-mata.
Tetapi juga usaha membina kepimpinan masa depan yang mampu mewakili kepelbagaian masyarakat serta memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap PH.
Untuk rekod, kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap bantahan yang disuarakan beberapa ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Kawasan Pasir Gudang.
Terdahulu, mereka mengadakan sidang akhbar bagi membantah pencalonan Sharon dan menyifatkan beliau sebagai calon ‘payung terjun’.
Malah, kepimpinan kawasan terbabit turut menyatakan pendirian menyokong Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah untuk dicalonkan di kerusi berkenaan serta memberi bayangan untuk memboikot kempen Sharon.
Mengulas perkara itu, Muhammad Faiz menasihatkan semua pihak dalam Amanah supaya merapatkan saf dan mengetepikan perbezaan pandangan demi memastikan kemenangan PH di DUN Permas.
Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu lagi, PRN Johor bukan medan untuk memenangkan mana-mana individu.
Sebaliknya, ia merupakan usaha kolektif bagi memastikan Amanah dapat menyumbang kerusi kepada PH dalam misi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan dan disiplin jentera di semua peringkat, terutamanya ketika berdepan saingan sengit dalam pilihan raya.
19. Sementara itu, kerusi DUN Permas dijangka menjadi antara tumpuan pada PRN Johor kali ini memandangkan kawasan berkenaan mempunyai komposisi pengundi yang pelbagai serta pernah menyaksikan persaingan sengit dalam pilihan raya lalu.
Dengan pendirian tegas yang dinyatakan kepimpinan pusat, Amanah berharap polemik berhubung pencalonan Sharon Teo dapat diselesaikan segera.
Supaya seluruh jentera parti dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha meraih sokongan pengundi dan memperkukuhkan peluang PH di DUN Permas.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=5dbCICA_X54&ra=m
