PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperhebat operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi membanteras penempatan serta premis perniagaan haram warga asing di sekitar ibu negara, termasuk kawasan tumpuan di Selayang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, isu kebanjiran premis dan aktiviti perniagaan warga asing kini memerlukan tindakan lebih menyeluruh melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan serta memberi impak yang besar.
Sebagai langkah awal, DBKL menerusi Ops Kutip yang dijalankan di sekitar Pasar Pudu semalam menutup sebuah premis yang dikendalikan warga asing kerana beroperasi secara tidak sah, selain mengeluarkan tiga notis terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Dalam operasi sama, sebanyak 24 tindakan sita dan pindah barangan dikenakan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan aktiviti tanpa lesen membabitkan jualan barangan am, sayur-sayuran, buah-buahan serta barangan basah. Kesemua barangan dan peralatan yang disita dibawa ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut.
DBKL memaklumkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Operasi bersepadu itu diketuai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dan individu yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan.
DBKL menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti warga asing. Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras perniagaan haram dan memastikan pematuhan undang-undang demi kesejahteraan serta ketenteraman warga kota.
Fadlun turut menegaskan bahawa DBKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan atau membenarkan premis mereka dikendalikan oleh warga asing secara tidak sah. Beliau berkata, tindakan tegas akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aktiviti perniagaan di ibu negara mematuhi peraturan yang ditetapkan serta melindungi hak peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan secara sah.
