PETALING JAYA – Kira-kira 4.6 juta pekerja profesional sektor swasta masih menerima gaji di bawah RM4,000 sebulan walaupun memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dan pengalaman kerja lebih 10 tahun.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin berkata, keadaan itu menggambarkan jurang ketara antara kelayakan akademik, pengalaman serta pendapatan pekerja dengan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, berdasarkan data Struktur Upah Sektor Formal bagi Mac 2025, hampir separuh daripada kira-kira tujuh juta pekerja profesional swasta memperoleh pendapatan di bawah paras RM3,500 hingga RM4,500 sebulan yang dianggap lebih selesa.
“Inflasi sekitar 2.5 peratus setahun bermakna kuasa beli pekerja turut terhakis sekiranya kenaikan gaji tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup.
“Keadaan itu menunjukkan masih terdapat jurang ketara antara kelayakan, pengalaman dan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi pekerja sektor swasta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kamarul Baharin berkata, peningkatan gaji pekerja profesional juga tidak seharusnya hanya bergantung kepada semakan gaji minimum setiap dua tahun, sebaliknya perlu disokong struktur gaji yang mengambil kira pengalaman, pendidikan, kemahiran dan produktiviti.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan dengan perinciannya akan diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Beliau berkata, semakan dan kajian berkaitan pelarasan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Mengulas perkara itu, Kamarul Baharin mencadangkan kadar gaji minimum baharu ditetapkan pada RM3,100 dan ke atas dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta realiti pendapatan pekerja.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Tan Eng Hong berkata, struktur ekonomi domestik masih banyak bergantung kepada industri berintensif buruh, produktiviti rendah dan tenaga kerja berupah murah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pekerja masih berdepan kesukaran menikmati peningkatan pendapatan yang setara dengan sumbangan mereka kepada ekonomi.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Low Boon Tat pula berkata, isu gaji rendah turut membabitkan pekerja industri media yang telah berkhidmat lebih 10 tahun tetapi masih menerima pendapatan di bawah RM4,000.
Menurutnya, gaji yang tidak mencukupi boleh mendorong pekerja mencari pekerjaan sampingan bagi menampung keperluan harian, sekali gus berpotensi menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan utama.
Beliau berkata, penyelesaian isu gaji perlu dicapai melalui rundingan antara majikan dan pekerja dengan mengambil kira kebajikan tenaga kerja serta kelangsungan operasi syarikat.
“Kalau pendapatan mereka mencukupi, mungkin mereka boleh memberikan lebih tumpuan dan melakukan yang terbaik untuk pekerjaan mereka,” katanya.
