Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Grand Prix (GP) Malaysia berpotensi kembali dalam kalendar tahunan Formula 1 (F1) secara tetap pada masa akan datang.
Khabar gembira itu dibincangkan ketika Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Formula 1, Stefano Domenicali, sejurus sebelum perlumbaan dimulakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Menurut hantaran di media sosial, PMX menzahirkan hasrat mengembalikan GP Malaysia ke Sepang.
Namun beberapa pertimbangan perlu diteliti mengambil kira jadual perlumbaan F1 yang padat serta komitmen kontrak F1 dengan negara penganjur sedia ada.
“Kami membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar Formula 1 secara tetap.
“Sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang.
“Namun, usaha ini memerlukan masa kerana penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian.
“Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri dengan mengambil kira kemampuan negara serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Malaysia menjadi ‘venue’ bagi penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC susulan krisis geopolitik di Asia Barat yang tercetus bermula akhir Februari lalu.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1, PMX berkata, perkara tersebut sedang dibincangkan.
“Saya menantikannya. Kami sedang berbincang,” jelasnya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menyifatkan penganjuran acara permotoran di Malaysia sebagai sesuatu yang hebat dan memberi manfaat kepada negara serta syarikat tempatan.
Dalam nada berseloroh, beliau turut mengakui cuaca panas dan lembap Malaysia agak mencabar berbanding keadaan yang biasa dialami pelawat antarabangsa.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=nKYOF-MJWCo&ra=m
