MADANI TERKINI | PERTAHAN NEGARA BANGSA BERMULA DENGAN KEMATANGAN POLITIK

Malaysia memerlukan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan politik bagi mempertahankan serta memperkukuh semangat negara bangsa yang dibina atas nilai perpaduan, kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kepelbagaian yang menjadi asas pembentukan negara perlu terus dipelihara menerusi semangat saling menghormati, selain menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Sebab itu cabaran kita negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, suku kaum yang berbeza, warna kulit yang berbeza.

“Kita perlukan kematangan, kewarasan, kebijaksanaan dalam politik dalam mempertahankan dan memperkukuh semangat negara bangsa ini,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di perkarangan Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

PMX berkata, pembentukan negara bangsa seperti Malaysia memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran tinggi sebagaimana yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh pengasas negara terdahulu.

Menurutnya lagi, tokoh seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta pemimpin dari Sabah dan Sarawak mempunyai jiwa murni serta kecintaan mendalam terhadap tanah air walaupun mewakili pelbagai latar belakang yang berbeza.

“Menarik tokoh-tokoh seperti Tun Temenggong Jugah Barieng, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Fuad Stephens, mereka ini mempunyai jiwa murni untuk menjayakan Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat meneruskan perjuangan tokoh terdahulu dengan menjaga perpaduan negara dan tidak membiarkan isu kaum atau wilayah digunakan untuk menanam kebencian.

Beliau berkata perbuatan menanam bibit kebencian dan sikap tidak menghormati perbezaan akan menjadi punca kepada perpecahan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, majoriti rakyat menyedari bahawa nikmat perpaduan membawa kepada kestabilan yang menjadi asas penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau turut menegaskan semangat perpaduan perlu dipupuk dengan menghormati perbezaan bahasa, budaya, kaum dan kepercayaan, bukan sekadar mengenali antara satu sama lain secara luaran.

Sehubungan dengan itu, PMX mahu jentera perpaduan seperti Rukun Tetangga dan Komuniti MADANI terus berperanan sebagai platform utama dalam memupuk kerjasama erat antara kaum.

Beliau turut memuji Sabah sebagai contoh negeri yang memperlihatkan semangat perpaduan membanggakan khususnya menerusi keharmonian rakyat pelbagai suku kaum dan budaya dalam sambutan hari ini.

Malahan, suasana sambutan yang meriah itu membuktikan rakyat Sabah terus menjadi teladan dalam usaha memelihara keharmonian serta kebersamaan dalam sebuah masyarakat majmuk.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=_oYk6AL6M-g&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *