KANAK-KANAK 9 TAHUN MAUT DIREMPUH SUV DI REMBAU

REMBAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu Kota, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang merupakan murid Tahun Tiga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati SUV jenis Perodua Aruz yang dipandu seorang guru wanita berusia 42 tahun sedang dalam perjalanan dari sebuah sekolah berhampiran menuju ke kawasan perumahan tersebut sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa berada di atas jalan dalam kawasan perumahan ketika kejadian berlaku. Pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa yang cuai ketika melintas atau berada di atas jalan sebelum dilanggar kenderaan tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian itu turut mengejutkan penduduk setempat yang bergegas ke lokasi selepas mendengar bunyi dentuman kuat. Suasana pilu menyelubungi kawasan perumahan berkenaan apabila ahli keluarga mangsa dan penduduk berkumpul di tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat, manakala kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Senawang bagi tujuan pemeriksaan teknikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya. Polis turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika bermain di kawasan berhampiran jalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *