MADANI TERKINI | PMX BERI AMARAN JANGAN UGUT, KHIANAT KESTABILAN KERAJAAN PERPADUAN

Semua pihak agar diingatkan tidak cuba mengugut atau mengkhianati kestabilan Kerajaan Perpaduan, kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, jika perkara itu berlaku, beliau bersedia memulangkan mandat kepada rakyat sekiranya dicabar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, walaupun mengamalkan pendekatan berhemah dan lunak dalam rundingan politik, ia tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tanda kelemahan.

“Saya nak beri mesej yang jelas hari ini… kita berjuang puluhan tahun berdasarkan prinsip…

“Kita mengambil pendekatan yang hikmah, berunding dengan baik, tidak menegur dan menyergah mereka secara terbuka kerana kita faham maksud ‘bil hikmah’.

“Tapi jangan salah baca, jangan salah faham, jangan ugut dan jangan ada tindakan ke arah pengkhianatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Lok; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PMX turut berkata, kepimpinan PH yang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), AMANAH dan DAP ketika ini kekal utuh serta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang usaha menghasut ke arah pengkhianatan dalaman.

“Sepanjang tiga tahun Kerajaan MADANI, kita tidak pernah menghasut atau berniat mengkhianati kawan-kawan…

“Kita dengar, kita ubah suai dan bergerak dengan cermat kerana kita mahu kerajaan ini stabil dan negara aman… politik harus stabil, negara harus aman,” tegasnya lagi dipetik Harapan Madani.

Ahli Parlimen Tambun itu turut membidas sikap segelintir pihak yang disifatkan sebagai apologetik dan hanya berani menyasarkan isu kecil.

Namun mendiamkan diri terhadap perompak besar yang mengaut kekayaan negara.

Beliau turut berkata, Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah.

Khususnya melibatkan golongan elit dan individu berpangkat tinggi termasuk Tun serta Tan Sri yang didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=5_D8WHwZfm8&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *