AKMAL HANYA GARANG LAWAN DAP DI MEDIA SOSIAL

Kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyerang DAP dalam pelbagai isu politik menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana keberanian itu diterjemahkan dalam persaingan sebenar di peti undi.

Akmal yang sering tampil dengan kenyataan keras terhadap DAP dilihat lebih selesa mempertahankan pengaruh politiknya di kawasan sendiri, DUN Merlimau, yang mempunyai asas sokongan tradisi UMNO.

Keadaan itu membuka ruang kepada persoalan mengapa pemimpin muda UMNO berkenaan tidak memilih untuk mencabar DAP secara langsung di kawasan yang dikuasai parti tersebut.

Dalam politik, mengkritik lawan melalui media sosial, pentas ceramah atau kenyataan media tentunya berbeza daripada berdepan sendiri dengan calon parti yang sering menjadi sasaran serangan.

Tidak dinafikan, Akmal sememangnya dikenali sebagai antara pemimpin UMNO yang paling lantang mengkritik DAP.

Antaranya termasuk dalam isu berkaitan identiti Melayu, agama dan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun, kelantangan tersebut turut mengundang persoalan sama ada pendekatan politiknya lebih tertumpu kepada membina imej sebagai pejuang Melayu dalam kalangan penyokong UMNO berbanding memperluaskan pengaruh parti ke kawasan yang dikuasai lawan.

Jika benar Akmal mempunyai pengaruh besar dan mampu menarik sokongan pengundi melalui pendekatan politiknya, pertandingan secara langsung menentang DAP boleh menjadi medan untuk menguji kekuatan sebenar pengaruh tersebut.

Sebaliknya, mempertahankan kerusi yang mempunyai jentera dan sokongan tradisi UMNO tidak memberikan ukuran yang sama terhadap keupayaannya menembusi kawasan pengaruh DAP.

Persoalan ini menjadi lebih menarik apabila Akmal sering menampilkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak gentar berdepan DAP.

Meskipun kedua-dua parti berada dalam kerangka kerjasama politik di peringkat Persekutuan.

Keberanian menyuarakan pandangan sememangnya hak setiap pemimpin politik.

Tetapi keberanian menghadapi pertandingan pilihan raya juga merupakan antara ukuran penting terhadap keyakinan seseorang terhadap sokongan rakyat.

Pada 14 Oktober lalu, Akmal sendiri pernah membayangkan kemungkinan meninggalkan Merlimau apabila menyebut Serkam dan Sungai Rambai sebagai antara pilihan kawasan baharu.

Bagaimanapun, kedua-dua kawasan yang disebut itu juga bukan kerusi yang dimenangi DAP.

Justeru, ia sekali gus menimbulkan persoalan mengapa kawasan pengaruh DAP tidak termasuk dalam pertimbangannya.

Spekulasi perpindahan tersebut akhirnya terjawab apabila BN pada 24 Oktober mengumumkan Akmal kekal sebagai calon DUN Merlimau bagi PRN Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November.

Pada PRN 2021, Akmal memenangi Merlimau dengan memperoleh 5,633 undi, dengan majoriti kemenangannya ialah 3,248 undi.

Di mana beliau mengatasi calon PH daripada Amanah, Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi serta calon PN, Abd Alim Shapie dengan 1,622 undi.

Kali ini, PH pula menamakan Ketua Wanita Amanah Melaka, Rahayu Hamzah untuk mencabarnya di Merlimau.

Ini bermakna Akmal sekali lagi bakal berdepan calon Amanah, bukannya DAP, tertakluk kepada pengesahan pencalonan pada 31 Oktober.

Walaupun pemilihan calon dan kawasan pertandingan merupakan keputusan strategik parti, kedudukan Akmal sebagai Ketua Pemuda UMNO menjadikan persoalan mengenai keselarasan antara retorik dan tindakannya sesuatu yang wajar dibahaskan.

Akhirnya, pengundi berhak menilai sama ada kekuatan politik Akmal terletak pada kelantangannya menyerang DAP atau pada rekod perkhidmatan, pencapaian dan kemampuannya meyakinkan rakyat.

Sehubungan itu, persoalan yang tinggal kini adalah jika Akmal begitu berani mencabar DAP melalui kata-kata?

Dan bilakah beliau bersedia menguji keberanian itu dengan berdepan calon DAP sendiri di peti undi?

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=5klmfyQh7X8&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *