WASHINGTON – Fenomena Super El Nino berpotensi mengubah ekosistem lautan dunia apabila perubahan suhu dan arus laut menyebabkan kawasan Lautan Pasifik Khatulistiwa bertukar daripada hijau zamrud kepada biru pekat, menurut imej satelit terbaharu Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Perubahan warna itu dikaitkan dengan gangguan arus laut yang membawa air sejuk kaya nutrien ke permukaan, sekali gus menjejaskan pertumbuhan fitoplankton, organisma mikroskopik yang memainkan peranan penting dalam rantaian makanan marin.
Fitoplankton mengandungi pigmen yang menyerap dan memantulkan cahaya, mempengaruhi warna permukaan laut yang dapat dikesan melalui satelit. Apabila bekalan nutrien berkurangan, pertumbuhan organisma itu boleh terjejas, menyebabkan warna laut kelihatan lebih biru.
Perbandingan imej satelit dengan data 2025 menunjukkan perubahan ketara di kawasan sekitar garisan khatulistiwa Pasifik, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap kemungkinan perubahan keadaan lautan susulan perkembangan El Nino.
El Nino ialah sebahagian daripada fenomena iklim semula jadi El Nino-Ayunan Selatan (ENSO), yang turut merangkumi fasa La Nina. Fenomena ini berlaku secara tidak teratur setiap dua hingga tujuh tahun dan boleh mempengaruhi suhu, taburan hujan serta corak cuaca di pelbagai rantau dunia.
Ketika El Nino berlaku, air permukaan Pasifik tropika menjadi lebih panas daripada biasa, manakala proses kenaikan air sejuk dari dasar laut di sesetengah kawasan boleh menjadi lemah. Keadaan itu berpotensi mengubah bekalan nutrien dan produktiviti hidupan marin.
Perkembangan tersebut turut menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan El Nino kuat yang boleh membawa kesan lebih meluas, termasuk gelombang haba, kemarau, hujan ekstrem dan gangguan terhadap pertanian serta perikanan, bergantung pada corak cuaca serantau.
Bagaimanapun, perubahan warna laut sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan kekuatan El Nino. Penilaian fenomena itu memerlukan pemantauan berterusan terhadap suhu permukaan laut, keadaan atmosfera dan unjuran iklim oleh badan saintifik berkaitan.
Lautan Pasifik menjadi antara kawasan utama pemantauan saintis kerana perubahan di rantau itu boleh mempengaruhi sistem iklim global dalam tempoh beberapa bulan hingga tahun berikutnya.
