KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan isterinya, penyanyi Bella Astillah daripada kecaman netizen yang mendakwa pasangan itu tidak sekufu ketika menyampaikan ucapan pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam Sabtu.
Syed Saddiq, 34, berkata, kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan tahap pendidikan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pengorbanan, tanggungjawab dan sumbangan dalam kehidupan.
Menurutnya, Bella sudah mula menyertai pertandingan Bintang Kecil RTM ketika berusia lima tahun sebelum bakatnya membantu keluarga berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur ketika beliau berusia tujuh tahun.
Beliau mengakui berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka, namun menegaskan Bella juga mempunyai pencapaian tersendiri apabila berjaya membesarkan dan mendidik dua anaknya.
Syed Saddiq menyifatkan Bella sebagai seorang ibu yang luar biasa dan berkata, dirinya berasa bertuah kerana dapat menjadikan penyanyi itu sebagai isteri.
Ucapan tersebut menyentuh emosi Bella yang dilihat sebak sambil memegang tangan suaminya, sekali gus mengundang sorakan serta tepukan gemuruh daripada kira-kira 3,000 tetamu yang menghadiri majlis berkenaan.
Sementara itu, Bella ketika ditemui selepas majlis mengakui terharu dengan ucapan suaminya yang disifatkan sebagai tanda kasih sayang terhadap dirinya dan anak-anak.
Katanya, beliau tidak mengetahui mengenai ucapan itu lebih awal dan berasa lega apabila suaminya tampil mempertahankannya daripada kecaman orang ramai.
Syed Saddiq kemudian menegaskan bahawa dirinya bukan penyelamat hidup Bella, sebaliknya menyifatkan wanita itu sebagai individu yang berjaya membina kekuatan hidupnya sendiri.
Majlis resepsi pasangan itu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu, termasuk tokoh politik, atlet negara, selebriti dan ahli keluarga.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, selain kehadiran tetamu kenamaan yang meraikan pasangan pengantin baharu itu.
