Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa institusi Raja-Raja Melayu di negara ini tidak sewajarnya dijadikan permainan dan percaturan politik mana-mana pihak.
Perdana Menteri menegaskan, sebarang usaha berkaitan kedudukan Raja di Negeri Sembilan perludilaksanakan mengikut sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, Perlembagaan serta adat yang berkaitan.
Untuk itu, beliau meminta kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim mengambil pendirian lebih tuntas serta tidak berdolak-dalik atau tunduk kepada tekanan politik ketika menangani kemelut berkenaan.
“Ini soal Raja Berperlembagaan. Kita orang Melayu terutamanya mesti beri contoh yang baik.
“Kalau betul kita junjung Perlembagaan dan tahu prinsip negara ini yang berteraskan Melayu dan majoriti Melayu, kita jaga keharmonian ini.
“Kalau Raja-Raja ini kita boleh tukar ikut bulan sistem raja akan gagal,” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-41 di Encore Theatre Melaka, Klebang pada Ahad.
Difahamkan, PMX telah meneliti kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkembangan di Negeri Sembilan.
Termasuk pendirian bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak tergugat.
Namun, jika terdapat sebarang usul daripada Undang, semua proses dan peraturan yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
“Kalau ada apa-apa usul daripada Undang dan sebagainya, ikut proses peraturan sepenuhnya.
“Peraturan itu tidak terpakai hanya kepada Raja, tetapi juga kepada Undang. Ikut proses dan kita tidak campur tangan,” ujarnya lagi.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=8MmMdx76wsc&ra=m
