JEPUN CATAT LEBIH 100,000 WARGA BERUSIA 100 TAHUN

TOKYO – Jumlah penduduk Jepun berusia 100 tahun ke atas melepasi angka 100,000 buat pertama kali, mencecah 107,677 orang tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.

Angka itu meningkat 7,914 orang berbanding tahun lalu dan merupakan jumlah tertinggi sejak rekod berkenaan mula dikumpulkan. Daripada keseluruhan centenarian itu, 94,298 atau kira-kira 88 peratus adalah wanita, manakala 13,379 lelaki.

Warga tertua Jepun ketika ini ialah Kishimoto Fuyo, 114, dari Kyoto, selepas pemegang rekod sebelum ini, Kagawa Shigeko, 115, meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, Kenichiro Ueno, berkata peningkatan jumlah warga emas berusia panjang antara lain dikaitkan dengan penambahbaikan persekitaran kehidupan, pemakanan dan status kesihatan, selain kemajuan teknologi perubatan.

Beliau menyifatkan peningkatan jumlah warga berusia 100 tahun ke atas sebagai perkembangan yang membolehkan lebih ramai menikmati kehidupan yang panjang dan aktif.

Bagaimanapun, perkembangan itu turut menuntut Jepun memastikan sistem keselamatan sosial kekal mampan ketika negara berdepan penuaan penduduk yang semakin ketara.

Data terkini menunjukkan jumlah centenarian Jepun meningkat lebih 700 kali ganda berbanding 153 orang yang direkodkan pada 1963. Jumlah itu pertama kali melepasi 10,000 pada 1998 dan 50,000 pada 2012.

Peningkatan itu menggambarkan perubahan besar struktur demografi Jepun, dengan negara berkenaan perlu menyediakan kemudahan kesihatan, penjagaan warga emas dan sokongan sosial yang bersesuaian dengan pertambahan populasi berusia.

Pada masa sama, kerajaan Jepun turut memberi perhatian kepada usaha memanjangkan tempoh kehidupan sihat menerusi pencegahan penyakit, pemakanan dan aktiviti fizikal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *