SIRI H TERAKHIR JPJ DIBUKA UNTUK BIDAAN

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan istimewa (NPI) siri H, yang merupakan siri huruf tunggal terakhir ditawarkan jabatan itu, sempena sambutan Hari Malaysia.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bidaan bagi nombor pendaftaran H1 hingga H9999 dibuka selama lima hari bermula Rabu ini dan berakhir pada 20 September.

Menurutnya, keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September menerusi aplikasi JPJeBid.

Katanya, siri H dipilih bersempena Hari Malaysia kerana huruf berkenaan dikaitkan dengan maksud harmoni dan keharmonian negara.

“Siri H ini merupakan satu sinonim kepada harmoni, keharmonian negara kita. Jadi sempena sambutan Hari Malaysia, kita menawarkan siri satu huruf tunggal yang terakhir di dalam Malaysia.

“Sebab selepas ini tidak ada lagi huruf tunggal yang akan ditawarkan oleh JPJ,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Interaksi Bersama Media di Menara 118, di sini malam tadi.

Mengulas persepsi bahawa huruf H sinonim dengan kenderaan teksi, Aedy Fadly menjelaskan, pendaftaran teksi menggunakan huruf berkenaan perlu digabungkan dengan huruf negeri.

Sebagai contoh, siri HA sebelum ini merujuk kepada teksi yang didaftarkan di Perak, manakala HB merujuk teksi yang didaftarkan di Selangor.

Bagaimanapun, katanya, belum pernah ada siri H tunggal ditawarkan kepada orang ramai.

Beliau menegaskan siri H kali ini bukan milik mana-mana pihak, sebaliknya dikeluarkan kerajaan untuk dimiliki rakyat Malaysia.

“Keputusan 21 September ini sama seperti bidaan siri yang lain. Cuma kali ini istimewa kerana kita tidak akan buka siri-siri lain dalam tempoh pembidaan siri H ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh membuat bidaan menerusi aplikasi JPJeBid bermula 16 September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *