AFA BUKAN PUNCA BIL ELEKTRIK MELONJAK – TNB

PETALING JAYA – Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan punca utama peningkatan mendadak bil elektrik pengguna, sebaliknya perubahan jumlah bil bulanan turut dipengaruhi corak penggunaan elektrik isi rumah.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, penggunaan peralatan elektrik yang lebih tinggi ketika musim perayaan, cuti sekolah dan amalan bekerja dari rumah antara faktor yang boleh menyebabkan bil meningkat.

Menurut TNB, AFA diperkenalkan pada 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dan bukan merupakan caj tambahan baharu atau mekanisme untuk menyalurkan keuntungan kepada syarikat itu.

Sebaliknya, AFA berfungsi secara dua hala bagi melaraskan perubahan kos bahan api serta kadar pertukaran mata wang asing.

“Apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat yang dipulangkan secara terus menerusi bil elektrik.

“Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TNB berkata, surcaj hanya mula dikenakan pada Mei lalu selepas kos penjanaan meningkat susulan krisis di Asia Barat.

Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah sebulan, mereka dikecualikan sepenuhnya daripada AFA, termasuk rebat dan surcaj.

Golongan itu turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan, selain membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif terdahulu bergantung kepada tahap penggunaan.

Secara keseluruhan, pengguna menerima rebat AFA berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme itu diperkenalkan, berbanding surcaj sebanyak RM800 juta.

Kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan kesan surcaj AFA terhadap pengguna.

Untuk September 2026, kadar AFA ditetapkan pada surcaj 3.67 sen bagi setiap kWj.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin menggesa kerajaan menilai semula mekanisme AFA bagi pengguna domestik susulan peningkatan kadar yang disifatkan semakin memberi tekanan kepada isi rumah.

Beliau berkata, kenaikan bil antara RM30 hingga RM100 mungkin kelihatan kecil, namun jumlah itu tetap memberi kesan kepada keluarga yang perlu mengutamakan perbelanjaan harian.

Sementara itu, TNB menyarankan pengguna memantau penggunaan elektrik secara harian dan bulanan menerusi aplikasi myTNB, khususnya bagi pemilik meter pintar.

Pengguna turut digalakkan menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius, menggunakan pemasa serta memilih peralatan elektrik berpenarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

Selain itu, pengguna boleh mempertimbangkan skim Masa Penggunaan (TOU) bagi menikmati kadar tarif lebih rendah ketika luar waktu puncak, manakala pemasangan solar bumbung menerusi inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home turut dicadangkan sebagai langkah penjimatan jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *