NICE – Kejayaan tujuh peserta Malaysia menamatkan Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2026 di Nice, Perancis, membuktikan kemampuan atlet negara bersaing di pentas triatlon bertaraf antarabangsa.
Lebih membanggakan, peserta termuda Malaysia, Ahmad Dani Amir Fariz, 19, yang juga penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berjaya menamatkan perlumbaan mencabar itu dalam catatan 6 jam 44 minit 21 saat.
Pelajar tahun pertama jurusan Undang-Undang itu melengkapkan tiga disiplin perlumbaan membabitkan renang sejauh 1.8 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan larian 21 kilometer.
Menurut Ahmad Dani, segmen berbasikal menjadi cabaran paling getir apabila laluan berbukit dan pendakian curam menyebabkan kelajuannya pada beberapa ketika hanya sekitar 11 kilometer sejam.
“Ini adalah pertandingan yang amat sukar. Segmen berbasikal terlalu mencabar dengan bukit yang sungguh curam dan pendakian yang sukar.
“Namun, saya cuba mengejar masa ketika menuruni bukit,” katanya yang menyifatkan kejayaan itu sebagai detik penuh emosi.
Ahmad Dani turut memilih untuk menikmati keindahan pergunungan Nice sepanjang perlumbaan bagi mengurangkan tekanan, selain mahu menghargai pengalaman beraksi di lokasi berkenaan.
Katanya, edisi 2026 merupakan kali terakhir Kejohanan Dunia Ironman 70.3 diadakan di Nice, sekali gus mendorongnya untuk menikmati setiap detik perlumbaan.
Ahmad Dani sebelum ini memperoleh kedudukan 10 terbaik bagi kategori lelaki 18 hingga 24 tahun pada Ironman 70.3 Langkawi 2025, sekali gus melayakkannya beraksi di kejohanan dunia itu.
Lebih menarik, penyertaan di Langkawi merupakan penampilan sulungnya dalam acara triatlon 70.3, menyebabkan beliau sendiri tidak menyangka mampu melangkah ke pentas dunia.
Beliau berkata, kejayaan itu menjadi titik permulaan untuk terus mengembangkan penglibatan dalam sukan triatlon sambil memberi tumpuan kepada pengajian.
“Saya harap dapat terus membanggakan nama Malaysia serta UKM dan membuktikan pelajar universiti, khususnya jurusan undang-undang, mampu mengurus masa dengan baik serta mengimbangi pelajaran dan sukan,” katanya.
Ahmad Dani yang turut menerima Anugerah Dekan bagi semester berkenaan membuktikan kecemerlangan akademik dan pencapaian sukan mampu bergerak seiring menerusi pengurusan masa serta disiplin yang baik.
