MELAKA – Seorang tukang kebun berusia 28 tahun membuktikan kejujuran apabila memulangkan seutas gelang tangan emas dianggarkan bernilai RM15,000 yang ditemuinya ketika menjalankan tugas di Muzium Samudera, Banda Hilir, di sini, Ahad lalu.

Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad berkata, gelang emas jenis ‘jagung’ seberat 25 gram itu ditemui kira-kira pukul 7 pagi ketika dia menyapu kawasan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada kakitangan muzium.

Menurutnya, dia tidak terfikir mengenai nilai gelang tersebut sebaliknya menganggap pemulangan barangan berharga itu sebagai tanggungjawab dan amanah.

“Saya sapu sampah seperti biasa, lepas itu ternampak objek macam gelang emas sebelum saya berikan kepada kakitangan muzium. Masa itu saya tak fikir barang itu mahal atau apa, yang penting tanggungjawab kerja,” katanya.

Tengku Andy berkata, dia berbuat demikian kerana menyedari gelang berkenaan bukan miliknya dan mahu memastikan ia kembali kepada pemilik asal.

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu yang baru kira-kira dua bulan bekerja sebagai tukang kebun di muzium berkenaan sebelum ini bertugas di Wisma Negeri Terengganu.

Katanya, keputusan bekerja di Melaka dibuat bagi membolehkannya tinggal lebih dekat dengan isteri serta dua anaknya yang masing-masing berusia tiga tahun dan tiga bulan.

Sementara itu, Penolong Kurator Pengurusan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Farahwahidah Abd. Wahab berkata, pihaknya menerima makluman daripada seorang pengunjung dari Kuala Lumpur mengenai gelang emas yang dipercayai tercicir di kawasan muzium.

Menurutnya, maklumat kehilangan itu kemudiannya disampaikan dalam kumpulan WhatsApp kakitangan sebelum pihaknya dimaklumkan gelang berkenaan sudah ditemui oleh seorang tukang kebun.

Kejujuran Tengku Andy bukan sahaja membantu pemilik mendapatkan semula barang berharga itu, malah menjadi contoh bahawa nilai amanah dan integriti tetap menjadi perkara penting dalam kehidupan seharian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *