MADANI TERKINI | SPRM DIARAH SIASAT KELEWATAN AGIHAN BAJA KEPADA PESAWAH DI KEDAH

Perdana Menteri mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera bagi mengenal pasti punca proses berkaitan kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kelewatan itu menjejaskan pesawah yang sudah menyuarakan kebimbangan dan menyerahkan memorandum kepadanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti punca kelewatan berkenaan, termasuk syarikat yang dipertanggungjawabkan mengagihkan baja dan sama ada syarikat terbabit memenuhi tanggungjawabnya.

“Kita perlu tahu apa puncanya. Syarikat mana yang diberi tanggungjawab, adakah mereka menunaikan janji atau tidak.

“Jika tidak, mengapa tiada tindakan terhadap mereka,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di MAEPS, Serdang pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil jika perlu, termasuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke mahkamah atau mendakwa mereka.

“Jika perlu dibawa ke mahkamah, bawa ke mahkamah. Jika perlu didakwa, biarlah SPRM masuk dan menjalankan siasatan,” ujarnya lagi.

PMX turut berkata, beliau sudah mengarahkan SPRM menyiasat perkara berkenaan dan meneliti proses terbabit kerana rekod Kementerian Pertanian adalah baik.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata, kelewatan membabitkan bantuan pertanian amat serius kerana petani dan pesawah sudah berdepan pelbagai cabaran, termasuk masalah cuaca dan air.

Jangan biarkan perkara ini menjadi isu yang lebih membebankan mereka. Mereka sudah berdepan masalah cuaca dan air, ini sesuatu yang tidak boleh kita biarkan,” katanya.

Pada Januari lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaporkan sedang mengkaji semula rantaian bekalan baja bersubsidi susulan aduan petani mengenai kelewatan bekalan yang menjejaskan pertumbuhan tanaman dan menyebabkan mereka menanggung kos tambahan.

KPKM berkata, tempoh kontrak yang pendek sebelum ini menyebabkan gangguan bekalan apabila kontrak tamat sebelum pembekal baharu dilantik.

Reformasi dalam proses perolehan, termasuk kontrak bagi tempoh lebih panjang, kemudian dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan bekalan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=cnqXmUhvJwA&pp=0gcJCf4LAYcqIYzv&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *