DENPASAR – Pulau peranginan terkenal dunia, Bali, kini berdepan krisis sampah serius apabila tapak pelupusan utama di Suwung tidak lagi dibenarkan menerima sisa organik sejak awal April lalu, menyebabkan longgokan sampah semakin tidak terkawal di beberapa kawasan tumpuan pelancong.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan dan imej Bali sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, malah memberi kesan langsung kepada penduduk serta peniaga tempatan yang terpaksa menanggung kos tambahan bagi menguruskan sisa buangan sendiri.
Seorang penjual bunga di tepi jalan, Yuvita Anggi Prinanda berkata, bau busuk daripada timbunan sampah berhampiran gerainya menyebabkan sebahagian pelanggan tidak selesa dan membatalkan pembelian.
Menurutnya, dia kini terpaksa menggunakan sebahagian keuntungan harian untuk membayar syarikat swasta mengangkut sampah dari premisnya.
“Sebagai pemilik perniagaan, keadaan ini benar-benar menyusahkan. Bau sampah memberi kesan kepada pelanggan dan suasana perniagaan,” katanya.
Krisis itu semakin membimbangkan apabila Bali menerima kira-kira tujuh juta pelancong tahun lalu, jauh melebihi jumlah penduduk tempatan sekitar 4.4 juta orang, sekali gus meningkatkan jumlah sisa harian di pulau tersebut.
Di Pantai Kuta yang terkenal dalam kalangan pelancong asing, timbunan sampah dilaporkan semakin ketara sehingga memenuhi kawasan parkir dan mengundang kehadiran tikus pada waktu malam.
Pelancong dari Australia, Justin Butcher berkata, keadaan tersebut mencemarkan pemandangan selain menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.
Pada masa sama, pekerja pembersihan turut meluahkan rasa kecewa apabila mereka berdepan kesukaran mencari lokasi pelupusan baharu selepas tapak utama menghadkan penerimaan sampah.
Malah, ratusan pekerja dilaporkan mengadakan protes dengan membawa trak sarat sampah ke pejabat gabenor bagi mendesak penyelesaian segera daripada pihak berkuasa.
Menurut pakar pengurusan sisa Universiti Gajah Mada, Nur Azizah, tapak pelupusan Suwung sudah lama melebihi kapasiti apabila menerima sekitar 1,000 tan sampah sehari.
Katanya, hampir 70 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada sisa organik yang berpotensi menghasilkan gas metana berbahaya dan boleh mencetuskan letupan serta tanah runtuh.
Beliau menegaskan penyelesaian jangka panjang memerlukan pendidikan menyeluruh kepada masyarakat mengenai pengurusan sisa organik, termasuk amalan pengkomposan di rumah dan premis perniagaan.
Kerajaan Indonesia kini merancang membangunkan beberapa projek tenaga daripada sisa, termasuk sebuah fasiliti di Bali yang mampu memproses kira-kira 1,200 tan sampah sehari, namun projek berkenaan dijangka mengambil masa beberapa tahun sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
Krisis tersebut sekali lagi menunjukkan bahawa pembangunan sektor pelancongan tanpa pengurusan sisa yang mampan boleh membawa kesan besar terhadap alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat.
