Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa seluruh kepimpinan dan anggota parti memperkukuh kesatuan, jentera akar umbi serta gerak kerja pilihan raya bagi memastikan agenda Reformasi terus mendapat sokongan rakyat.
Seruan itu disampaikan dalam beberapa ucapan kepimpinan KEADILAN sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka.
Dengan penekanan bahawa kuasa yang dimiliki kerajaan perlu diterjemahkan kepada khidmat dan penyelesaian masalah rakyat.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, parti tidak akan menjadi kuat sekiranya tenaga anggota terus dihabiskan untuk pertelingkahan dalaman atau perebutan pengaruh.
Katanya, kewujudan “parti dalam parti” dan terlalu banyak percaturan dalaman hanya akan melemahkan usaha KEADILAN mendekati rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
“Setiap jam kita gunakan untuk bertelagah sesama sendiri adalah jam yang kita tak gunakan untuk menangi hati rakyat,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN 2026 di MITC, Air Keroh.
Dalam masa sama, Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek turut menggesa jentera parti memperhebat gerak kerja di akar umbi, khususnya mendekati pengundi wanita sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, Melaka merupakan negeri penting kepada KEADILAN dan seluruh kekuatan parti perlu digerakkan bagi memastikan persiapan pilihan raya dilakukan secara optimum.
Malah menurutnya lagi, kekalahan dalam pilihan raya negeri sebelum ini perlu dijadikan pencetus untuk memperkukuh organisasi, bukannya alasan untuk berundur daripada mendekati rakyat.
Fadhlina turut menekankan pendekatan politik yang dekat dengan kehidupan seharian wanita.
Antaranya termasuk memahami keperluan keluarga dan isu asas seperti makanan, pendidikan serta kebajikan.
Sementara itu, Pengerusi Generasi KeADILan, Yusmadi Yusoff berkata, perjuangan Reformasi tidak seharusnya berhenti selepas KEADILAN berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Beliau berkata Generasi KeADILan mahu menjadi jambatan antara sejarah perjuangan Reformasi dengan masa depan.
Selain menghubungkan kepimpinan parti dengan akar umbi dan denyut nadi rakyat.
Tambahnya lagi, kejayaan membawa seorang Reformis ke Putrajaya merupakan pencapaian bersejarah.
Namun, Reformasi hanya benar-benar bermakna apabila perubahan dapat dirasai petani, pekerja, anak muda, mahasiswa, golongan OKU serta rakyat Sabah dan Sarawak.
“Ujian sebenar Reformasi bukan ketika kita menuntut kuasa.
“Tetapi ketika kita diberikan kuasa,” katanya pula.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut menggesa anggota parti meneruskan penerangan mengenai isu tadbir urus Tabung Haji (TH) susulan pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Dengan menekankan kepentingan komunikasi secara bersemuka kepada rakyat.
Nurul Izzah pula mengingatkan bahawa amanah memerintah perlu menjadi teras perjuangan parti.
Ia termasuk memastikan institusi ekonomi yang berkepentingan kepada masyarakat seperti FELDA dan MARA terus dipertahankan daripada tindakan yang boleh memangsakan rakyat.
Beliau turut memberi amaran bahawa tempoh kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki prestasi parti, membina semula kepercayaan serta mendekati kelompok pengundi muda.
Katanya lagi, perubahan kecenderungan politik anak muda, khususnya Melayu, perlu diberi perhatian serius.
Ini kerana mereka kini membentuk identiti politik dalam suasana tekanan ekonomi, kebimbangan identiti dan pengaruh media sosial.
Sehubungan itu, AMK dan Wanita KEADILAN diseru memainkan peranan lebih proaktif dengan menjadikan golongan muda serta wanita sebagai rakan strategik dalam pembentukan dasar dan hala tuju parti.
Untuk rekod, Kongres Nasional KEADILAN 2026 berlangsung di MITC, Air Keroh selama tiga hari, manakala Sidang Generasi KeADILan 2026 berlangsung dengan tema “Tekad Reformasi, Amanat Generasi”.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=CAU1PrcQfto&pp=0gcJCRMMAYcqIYzv&ra=m
