SUAMI DIDAKWA PUKUL ISTERI HINGGA KEGUGURAN

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 43 tahun yang disyaki memukul isterinya sehingga menyebabkan wanita itu keguguran tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani hari ini bagi menghadapi pertuduhan mencederakan mangsa.

Suspek yang memakai pakaian penjara berwarna jingga serta berpelitup muka tiba kira-kira pukul 8.30 pagi dengan menaiki van Jabatan Penjara Malaysia sambil diiringi polis.

Turut kelihatan di pekarangan mahkamah ialah abang mangsa yang hadir mengikuti prosiding pertuduhan berkenaan.

Lelaki terbabit dijangka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain denda atau sebatan.

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian ramai selepas mangsa yang merupakan penjawat awam berusia 39 tahun dilaporkan cedera parah di beberapa bahagian badan dan mengalami keguguran kandungan berusia 12 minggu akibat dipukul suaminya dalam kejadian di Ambangan Heights, bulan lalu.

Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di sebuah inap desa di Alor Setar pada 28 April lalu. Dia kemudian direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Polis turut mengesahkan lelaki berkenaan pernah disabitkan kesalahan memukul bekas isterinya di Johor Bahru pada 2021 sehingga mangsa koma ketika hamil.

Difahamkan, suspek kini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang bagi kes lampau tersebut.

Siasatan juga mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes mencederakan, ugutan jenayah serta menyembunyikan kelahiran membabitkan isteri dan teman wanita lain.

Polis sebelum ini turut mendedahkan suspek pernah berkahwin sembilan kali dan mempunyai tiga isteri serta 11 orang anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *