BANGI – Pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) berjaya mengurangkan masalah gangguan bekalan air minuman di Lembah Klang sejak lebih sedekad lalu, sekali gus membuktikan lebihan air hujan mampu dimanfaatkan sebagai sumber strategik negara, bukan sekadar ditangani sebagai punca banjir.
Profesor Adjung Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, kejayaan pelaksanaan TAPS menunjukkan pendekatan pengurusan air negara perlu beralih daripada hanya memberi tumpuan kepada mitigasi banjir kepada usaha memanfaatkan lebihan air secara menyeluruh.
Menurut beliau, projek TAPS di Rasau dalam lembangan Sungai Klang berjaya meningkatkan kestabilan bekalan air mentah sehingga gangguan bekalan air di Lembah Klang dapat dikurangkan dengan ketara, termasuk ketika musim kemarau. Malah, projek sama kini diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Melaka.
Beliau turut mencadangkan pembangunan sistem terusan air dan pam yang lebih cekap bagi membolehkan lebihan air disalurkan dari kawasan berlebihan bekalan ke kawasan yang mengalami kekurangan air, sekali gus memperkukuh jaminan bekalan air negara.
Katanya, negara seperti Belanda dan Jepun telah membuktikan lebihan air boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sektor pertanian, penjanaan tenaga dan pelancongan, manakala beberapa negara Eropah pula berjaya menjadikan sumber air daripada pencairan salji sebagai pemacu ekonomi.
Zaini berkata, Malaysia mempunyai kelebihan menerima purata taburan hujan sekitar 2,500 milimeter setahun, malah mencecah 3,000 milimeter di beberapa kawasan, justeru sumber berkenaan perlu diurus secara lebih strategik bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap perubahan iklim dan menjamin bekalan air pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Bah Monsun 2026 di Bangi Resort Hotel yang menghimpunkan penyelidik, perancang serta agensi berkaitan bagi memperkukuh pendekatan pengurusan banjir dan sumber air negara.
Perubahan pendekatan itu juga dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada empangan semata-mata, selain meningkatkan keupayaan negara menghadapi cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim. Dengan perancangan yang lebih menyeluruh, lebihan air ketika musim hujan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko banjir, malah menjadi sumber bekalan air yang mampan untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian.
