THAILAND BELUM TERIMA LESEN DIGITAL MALAYSIA

NARATHIWAT – Rakyat Malaysia yang memandu di Thailand masih diwajibkan membawa lesen memandu fizikal kerana negara itu belum mengiktiraf penggunaan lesen memandu digital bagi tujuan pemeriksaan dan penguatkuasaan di jalan raya.

Jurucakap Polis Trafik Wilayah Narathiwat berkata, mengikut Seksyen 42 Akta Kenderaan Bermotor B.E. 2522, pemegang lesen memandu yang dikeluarkan oleh negara yang diiktiraf kerajaan Thailand dibenarkan memandu mengikut kategori lesen masing-masing, tertakluk kepada pematuhan perjanjian atau konvensyen antarabangsa yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh memandu di Thailand menggunakan lesen memandu domestik dalam bentuk kad fizikal di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pengiktirafan Lesen Memandu Domestik. Sekiranya lesen tersebut tidak mengandungi maklumat dalam bahasa Inggeris, pemandu turut dikehendaki membawa terjemahan rasmi dalam bahasa berkenaan.

Menurutnya, pemandu juga boleh menggunakan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) berdasarkan Konvensyen Lalu Lintas Jalan Raya Geneva 1949, namun permit itu hendaklah disertakan bersama lesen memandu domestik yang sah.

Mengulas kes seorang rakyat Malaysia yang dikenakan saman di Hat Yai selepas gagal mengemukakan lesen memandu fizikal ketika pemeriksaan jalan raya, beliau menjelaskan tindakan penguatkuasaan itu dibuat mengikut undang-undang sedia ada yang masih belum menerima lesen digital sebagai dokumen sah.

Beliau turut menjelaskan bahawa perjanjian ASEAN berkenaan tidak terpakai kepada pemegang lesen memandu pelajar (L) atau lesen Percubaan (P), sekali gus mereka perlu mematuhi syarat tambahan sebelum dibenarkan memandu di negara berkenaan.

Dalam perkembangan sama, negara-negara anggota ASEAN sedang membincangkan garis panduan serta piawaian bagi pengiktirafan bersama lesen memandu digital. Bagaimanapun, sehingga persetujuan rasmi dicapai, rakyat Malaysia dinasihatkan sentiasa membawa lesen memandu fizikal atau Permit Memandu Antarabangsa setiap kali memasuki dan memandu di Thailand bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Jurucakap itu turut menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Thailand agar menyemak terlebih dahulu keperluan dokumen pemanduan serta peraturan lalu lintas negara berkenaan bagi memastikan perjalanan berjalan lancar dan mengelakkan sebarang kesulitan atau tindakan penguatkuasaan di pintu masuk mahupun ketika pemeriksaan di jalan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *