Tindakan menggunakan dalil agama untuk mempengaruhi pilihan politik rakyat terus menjadi polemik apabila Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dato’ Mahfuz Omar membidas pendekatan tersebut.

Beliau menyifatkannya sebagai usaha menunggang agama demi meraih sokongan menjelang pilihanraya.

Mahfuz berkata, beliau bersetuju umat Islam perlu mengambil berat soal kepimpinan, amanah dan tanggungjawab dalam mentadbir negara.

Namun menegaskan al-Quran dan hadis tidak wajar digunakan bagi mewujudkan persepsi bahawahanya satu parti politik mewakili kehendak Islam.

Mengulas tulisan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertajuk“Wajib Keluar Mengundi”, beliau berkata Islam mengajar umatnya memilih pemimpin yang adil, amanah, berintegriti serta berkeupayaan.

Bukannya mengangkat mana-mana parti moden sebagai satu-satunya wadah yang wajib disokong.

Menurutnya lagi, pendekatan yang mengaitkan pilihan politik dengan kedudukan agama seseorang berisiko mencampuradukkan ijtihad politik dengan soal akidah.

Sehinggakan masyarakat mudah menghukum sesama Islam hanya kerana berbeza fahaman politik.

Beliau turut mempersoalkan konsistensi pendirian politik PAS yang pernah bekerjasama dan bermusuhan dengan UMNO serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada waktu berbeza.

Di samping menegaskan bahawa jika agama dijadikan ukuran dalam politik, maka perubahan prinsipdan rekod kerjasama politik juga wajar dinilai secara terbuka oleh rakyat.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu menegaskan, tiada nas yang menetapkan seseorang Muslim wajib mengundi parti tertentu.

Sebaliknya kewajipan sebenar ialah menegakkan keadilan, memelihara amanah dan memilih kepimpinan yang mampu membawa maslahat kepada rakyat serta negara.

Beliau turut berkata, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, setiap pengundi berhak membuat pilihan berdasarkan pertimbangan agama, integriti, kecekapan, kestabilan, perpaduan dan kepentingan negara.

Terutamanya tanpa dipengaruhi dakwaan bahawa hanya satu parti memiliki legitimasi agama.

Sehubungan itu, Mahfuz juga menyeru rakyat agar berpolitik secara matang dengan berpandukan ilmudan fakta, bukan sentimen atau ketakutan. 

Malah tegasnya lagi, agama seharusnya menjadi panduan yang membentuk nilai dalam politik.

Bukannya dijadikan alat untuk menghukum pihak yang berbeza pandangan atau meraih sokongan politik. 

Rakyat kini semakin matang dalam menilai sesuatu kenyataan politik dan tidak mudah dipengaruhi dengan naratif yang mengaitkan sokongan kepada sesebuah parti sebagai ukuran keimanan. 

Tambahan lagi, beliau menegaskan persaingan politik seharusnya tertumpu kepada dasar, prestasi pentadbiran dan penyelesaian isu rakyat, bukannya menggunakan sentimen agama untuk meraih sokongan. 

Selain itu, menurutnya juga, budaya politik yang sihat akan memperkukuh perpaduan masyarakat serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. 

Justeru, setiap parti politik perlu menghormati kebebasan rakyat membuat pilihan tanpa menimbulkan persepsi bahawa perbezaan sokongan politik adalah perbezaan dalam beragama.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=QvVwwgsFGJU&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *