Sikap segelintir pihak yang mudah melabel orang lain sebagai munafik dan mengkafirkan sesama Islam hanya kerana perbezaan pandangan, sedangkan pendekatan itu tidak mencerminkan akhlak serta keperibadian yang dituntut agama, ditegur Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tegas Perdana Menteri, kecenderungan menghukum orang lain selepas mempelajari agama secara terbatas merupakan antara masalah yang perlu ditangani menerusi pengukuhan ilmu, kesedaran dan kefahaman Islam secara menyeluruh.
Menurutnya, usaha mengangkat martabat umat Islam perlu bermula dengan tradisi keilmuan dan pendekatan dakwah berasaskan hikmah, bukannya dengan tindakan mudah menghukum atau melabel pihak lain.
“Kalau tidak, sekarang ini banyak juga masalah. Belajar agama sedikit, terus menghukum dan menjaditakfiri.
“Terus memurtadkan orang dan memunafikkan orang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana pada Rabu.
Majlis itu turut menampilkan tokoh agamawan Indonesia, Ustaz Abdul Somad yang menyampaikanTausiyah Ilmu.
PMX berkata, usaha memperkukuh kefahaman Islam turut menjadi pertimbangan dalam merangka belanjawan negara, termasuk dengan mendapatkan pandangan ulama, guru agama dan institusi pendidikan tradisional.
Beliau berkata, kerajaan berusaha menghidupkan semula institusi pondok dan pesantren serta mendapatkan pandangan ulama bagi memperkukuh pengajian agama, termasuk melalui penelitian terhadap kitab-kitab turath atau khazanah keilmuan Islam klasik.
“Dulu kita ketepikan syeikh-syeikh dan guru-guru agama, tuan-tuan guru. Kita panggil di sini, mintapandangan dan mereka kata semua okey. Tapi ada kelemahan besar. Apa dia? Kamu tidak menggaliturath.
“Jadi kita rencanakan bagaimana harus kita menggali kitab-kitab lama, turath,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal apabila usaha berkenaan masih mengundang tuduhan terhadap kepemimpinan dan belanjawan kerajaan, termasuk dakwaan bahawa pemimpin serta belanjawan yang dibentangkan adalah munafik.
“Bila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik,” tempelaknya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau memilih untuk bersabar dan tidak membalas tuduhanberkenaan, sambil menyifatkannya sebagai gejala yang mencerminkan masalah lebih besar dalam kalangan mereka yang mengaku memperjuangkan Islam.
Menurutnya yang juga Menter Kewangan, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah kegagalan sesetengah pihak menunjukkan contoh yang baik dari segi akhlak, keperibadian, kesederhanaan dan toleransi.
“Dia tidak membantu. Dia tidak memberikan contoh yang baik dari segi akhlak, segi peribadi, kesederhanaan dan toleransi,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan hikmah, nasihat yang baik serta perbincangan secara berhemahsemakin penting dalam konteks masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan latar belakang.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Rm_q30POO2E&ra=m
