KUALA LUMPUR – Keselamatan dan kesihatan murid sekolah kekal menjadi keutamaan dalam usaha menangani jerebu di seluruh negara, dengan sebarang keputusan berkaitan operasi institusi pendidikan tertakluk kepada garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta penilaian kualiti udara semasa.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu susulan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat itu turut melibatkan agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menyelaras tindakan menghadapi situasi jerebu.

Menurut NADMA, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) digesa mempertingkatkan kesiapsiagaan menerusi pemantauan kualiti udara secara berkala serta penyelarasan tindakan segera di kawasan terjejas.

Tindakan menangani jerebu perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), keadaan cuaca, risiko pembakaran terbuka dan kesannya terhadap kesihatan awam.

NADMA turut menegaskan bahawa sumber manusia, peralatan dan bekalan logistik perlu mencukupi bagi memastikan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga hendaklah diaktifkan mengikut prosedur sekiranya keadaan bertambah serius.

Dalam pada itu, kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan dinasihatkan mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah apabila kualiti udara merosot bagi mengurangkan risiko gangguan kesihatan.

Ibu bapa juga diminta sentiasa mengikuti pengumuman rasmi KPM dan pihak pentadbiran sekolah berhubung sebarang perubahan sesi persekolahan, berdasarkan keadaan pencemaran udara di kawasan masing-masing.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya merujuk portal rasmi JAS untuk bacaan IPU, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi maklumat cuaca dan KKM untuk panduan kesihatan.

Langkah bersepadu itu penting bagi melindungi kesihatan masyarakat, khususnya golongan berisiko, di samping memastikan keputusan berkaitan persekolahan dibuat berdasarkan penilaian keselamatan dan maklumat rasmi semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *