Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun gagal diluluskan selepas tidak memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.
Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sejurus tamat sesi pengundian.
Yang tidak hadir 32 orang, manakala yang tidak mengundi 44 orang, dan yang bersetuju 146.
“Oleh yang demikian, keputusannya adalah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya dipetik Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan di Dewan Rakyat pada Isnin.
RUU berkenaan bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan had maksimum 10 tahun bagi seseorang memegang jawatan Perdana Menteri, sama ada secara berturut-turut atau tidak.
Sebagai pindaan Perlembagaan, ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan 222 Ahli Dewan Rakyat.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua menegaskan cadangan berkenaan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, malah tidak mengubah asas demokrasi berparlimen.
Menurut beliau, pelantikan Perdana Menteri tetap bergantung kepada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Namun tiada had tempoh jawatan ditetapkan sebelum ini.
“Pindaan ini adalah mekanisme semak dan imbang tambahan yang bersifat institusi, bukan peribadi,” katanya dipetik Harapan Madani.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian reformasi institusi di bawah Kerajaan MADANI.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menekankan bahawa pengehadan tempoh jawatan bukan bertujuan melemahkan institusi eksekutif.
Sebaliknya memperkukuh legitimasi, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap sistem 15. demokrasi negara dalam jangka panjang.
Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai pelaburan untuk generasi akan datang bagi memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang.
Selain mengurangkan risiko penumpuan kuasa serta salah guna amanah.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ketika membahaskan RUU tersebut berkata, pindaan itu hanya memperkenalkan satu syarat kelayakan baharu kepada jawatan Perdana Menteri, sama seperti syarat warganegara dan keanggotaan Dewan Rakyat.
Tegasnya lagi, naratif yang mendakwa pindaan itu mencabar kuasa prerogatif Yang diPertuan Agong adalah tidak tepat.
“Kuasa pelantikan kekal 100 peratus di tangan baginda selagi seseorang itu memenuhi syarat perlembagaan dan mendapat kepercayaan majoriti,” katanya dipetik Berita Harian.
Bagaimanapun, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebelum ini berhujah bahawa cadangan tersebut berpotensi bercanggah dengan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri.
Walaupun gagal diluluskan, perbahasan hari ini disifatkan sebagai antara detik penting dalam sejarah Parlimen apabila buat pertama kali cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dibentangkan secara rasmi untuk pindaan Perlembagaan.
Cadangan itu mencerminkan wacana berterusan mengenai keperluan memperkukuh sistem semak dan imbang serta memastikan kestabilan politik negara tidak bergantung kepada individu, sebaliknya kepada kekuatan institusi.
Dengan keputusan tersebut, had tempoh jawatan Perdana Menteri kekal tidak ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun perbahasan yang berlangsung membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai reformasi institusi dan masa depan demokrasi negara.
Pautan Video: RUU HAD 10 TAHUN PM GAGAL CAPAI DUA PERTIGA