Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan institusi itu menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar selama beberapa tahun melalui amalan perakaunan yang disifatkan sebagai “kreatif”.

Ia sekali gus membolehkan hibah tinggi terus diagihkan walaupun prestasi kewangan tidak mengizinkan.

Untuk rekod, laporan RCI mendapati TH melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017.

Sedangkan jika piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya, institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion.

Di mana ia mewujudkan jurang hampir RM4.8 bilion.

Menurut RCI lagi, keadaan itu berpunca daripada kegagalan merekodkan rosot nilai beberapa pelaburan, perubahan dasar penilaian aset.

Serta penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) yang menyebabkan nilai aset dilaporkan lebih tinggi daripada kedudukan sebenar.

RCI turut merumuskan bahawa pembayaran hibah yang tinggi antara tahun 2014 hingga 2017 telah melangkaui kemampuan kewangan TH sehingga menghakis rizab institusi berkenaan.

Selain memaksa pengurusan mengambil risiko pelaburan yang lebih agresif bagi mengekalkan kadar pulangan kepada pendeposit.

Laporan itu juga mendapati campur tangan politik dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan keputusan berkaitan hibah serta dasar operasi telah menjejaskan tadbir urus TH.

Beberapa Pengerusi dan ahli lembaga dalam tempoh tersebut dikenal pasti sebagai ahli politik aktif.

Manakala kuasa Menteri memecat anggota lembaga tanpa alasan turut disifatkan memberi kesan kepada kebebasan pentadbiran.

Dalam aspek pengauditan, RCI berpandangan Jabatan Audit Negara tidak mengambil pendirian yang cukup tegas apabila tetap mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi penyata kewangan 2017 walaupun terdapat isu penting yang hanya dinyatakan sebagai Emphasis of Matter. 

RCI juga berpendapat, tanpa sijil audit bersih, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan hibah tahunan sebanyak 4.5 peratus dan hibah haji 1.75 peratus yang melibatkan pembayaran kira-kira RM2.75 bilion.

RCI turut mengaitkan peluasan visi TH sebagai “Tonggak Ekonomi Ummah” dengan peningkatan pelaburan strategik dalam sektor hartanah dan perladangan yang berada di luar kepakaran institusi itu.

Dan ia sekali gus menyebabkan kerugian kepada beberapa anak syarikat dan syarikat bersekutu.

Selain itu, peningkatan kos subsidi haji atau HAFIS turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang memberi tekanan kepada kewangan TH. 

Tambahan lagi, RCI menganggarkan beban subsidi itu boleh meningkat sehingga lebih RM740 juta setahun menjelang 2030 sekiranya mekanisme sedia ada dikekalkan.

Bagi memperkukuh institusi berkenaan, RCI mengesyorkan Akta Tabung Haji 1995 dipinda bagi menghalang ahli politik aktif dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Selain mencadangkan penubuhan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mengurus dana pendeposit secara lebih profesional dan telus.

TH turut disyorkan untuk menghentikan penglibatan dalam pelaburan strategik berisiko tinggi, menjalankan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah.

Serta memastikan pembayaran hibah pada masa hadapan hanya dibuat berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit.

RCI juga berpandangan pembaharuan menyeluruh terhadap tadbir urus, pengurusan pelaburan dan struktur operasi TH amat penting bagi memulihkan keyakinan pendeposit.

Di samping memastikan institusi itu kembali fokus kepada matlamat asalnya, iaitu mengurus simpanan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=yTeirhKR_RA&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *