GURU SK SETIA ALAM DIPUJI BERANI PADAM KEBAKARAN

SHAH ALAM – Tindakan pantas beberapa guru lelaki Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam memadam kebakaran sebuah bilik darjah sebelum ketibaan bomba mendapat pujian orang ramai.

Menerusi video yang tular di media sosial, beberapa guru dilihat berusaha memadamkan api menggunakan alat pemadam api dalam keadaan asap tebal memenuhi ruang bangunan sekolah.

Keberanian dan tindakan pantas guru terbabit turut mendapat maklum balas positif pengguna media sosial, termasuk gesaan supaya mereka diberikan penghargaan atas tindakan berkenaan.

“Tolong Sispaa kan cikgu-cikgu berani tu. Ramai lagi tak tahu penghargaan juga boleh dilaporkan melalui Sispaa,” komen seorang pengguna Threads.

Seorang lagi pengguna, Md.ariff13, berkata, “Terbaik cikgu-cikgu, pantas bertindak,” manakala Fatin Hanani Ismail menyifatkan kejadian itu membuktikan kepentingan latihan kebakaran di sekolah.

Sebelum ini dilaporkan, suasana pembelajaran di SK Setia Alam di Persiaran Setia Prima bertukar cemas selepas sebuah bilik darjah terbakar kira-kira pukul 4.20 petang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, empat anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira 17 minit selepas menerima panggilan.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan sebelum pihak bomba tiba di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa ibu bapa memaklumkan menerusi media sosial bahawa murid telah dihimpunkan di kawasan padang sekolah sebagai langkah keselamatan.

Kejadian turut menarik perhatian orang ramai selepas video kepulan asap hitam dari bangunan sekolah berkenaan tersebar di media sosial, manakala beberapa ibu bapa mendakwa peralatan dan buku di bilik darjah terbabit hangus terbakar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *