SEOUL – Sebanyak 244 pelajar sekolah rendah dan menengah di Korea Selatan meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2025, jumlah tertinggi sejak rekod berkenaan mula dikumpulkan kerajaan negara itu.
Data Kementerian Pendidikan yang diperoleh Ahli Parlimen Parti Demokratik Korea, Kim Moon-soo menunjukkan angka itu meningkat 10.4 peratus berbanding 221 kes pada 2024 dan melonjak 64.9 peratus berbanding 148 kes pada 2020.
Daripada jumlah tersebut, enam membabitkan pelajar sekolah rendah, 92 pelajar sekolah menengah dan 146 pelajar sekolah menengah atas.
Peningkatan turut direkodkan di beberapa kawasan termasuk Seoul, Busan dan wilayah Gyeongsang Selatan.
Seoul mencatatkan 51 kematian pada 2025 berbanding 40 kes pada tahun sebelumnya, manakala Busan merekodkan peningkatan lebih tiga kali ganda daripada tujuh kepada 22 kes.
Gyeongsang Selatan pula mencatatkan 25 kematian, meningkat daripada 20 kes pada 2024.
Bagaimanapun, wilayah Gyeonggi yang mempunyai jumlah pelajar terbesar merekodkan penurunan daripada 63 kes pada 2024 kepada 51 kes tahun lalu, iaitu jumlah terendah sejak 2021.
Data sama menunjukkan masalah keluarga menjadi faktor penyumbang yang dilaporkan dalam 77 kes, diikuti masalah kesihatan mental sebanyak 58 kes, kebimbangan berkaitan akademik dan kerjaya (54) serta masalah hubungan dengan orang lain (38).
Faktor utama tidak dapat dikenal pasti dalam 79 kes, dengan lebih daripada satu faktor boleh direkodkan bagi setiap kematian.
Susulan peningkatan membimbangkan itu, kerajaan Korea Selatan pada Jun lalu mengumumkan strategi pencegahan bunuh diri remaja di seluruh negara, dengan sasaran mengurangkan kadar bunuh diri kumpulan umur berkenaan kira-kira separuh menjelang 2035.
Kim berkata, semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan, pejabat pendidikan di peringkat wilayah dan daerah serta sekolah perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mencegah kejadian berkenaan.
“Kita perlu memperkukuh dasar berkaitan, termasuk program sokongan kesihatan mental pelajar yang sedang dilaksanakan,” katanya.
