TOLAK PERSEPSI, PILIH KESTABILAN PRU16

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), rakyat disaran menilai secara rasional antara naratif politik yang semakin memuncak dengan keperluan memelihara kesinambungan pembangunan serta kestabilan negara yang diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Lokman Noor Adam berkata, suasana politik yang semakin hangat setiap kali negara menghampiri pilihan raya bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Sebaliknya menjadi medan pertarungan idea dan naratif untuk membentuk persepsi rakyat.

Malah menurutnya, ketika kerajaan memberi fokus kepada reformasi institusi dan pengukuhan tadbir urus, terdapat usaha tertentu untuk mencipta gambaran seolah-olah negara berada dalam krisis.

“Pembangkang memahami bahawa mereka tidak mampu menang atas dasar polisi semata-mata, lalu memilih untuk menang melalui persepsi.

“Setiap kelemahan pentadbiran digambarkan sebagai keruntuhan, setiap tindakan penguatkuasaan dilabel sebagai penganiayaan dan setiap pembaharuan diputar belit menjadi konspirasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyentuh dakwaan yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menurutnya diperbesar-besarkan sehingga penguatkuasaan undang-undang itu sendiri dipersoalkan.

“Siasatan terhadap tokoh politik terus dituduh sebagai ‘dendam politik’, sedangkan hakikatnya penguatkuasaan undang-undang perlu berjalan tanpa mengira kedudukan.

“Geseran institusi yang lazim dalam sistem demokrasi pula disensasikan sebagai keruntuhan Perlembagaan,” ujarnya lagi dipetik Suara Keadilan.

Lokman turut menegaskan bahawa reformasi di bawah Kerajaan MADANI sememangnya tidak selesa kerana melibatkan pemisahan institusi, langkah ketelusan, reformasi perolehan serta pengawasan yang lebih kukuh.

Namun, tambahnya lagi, langkah itu penting bagi memastikan tadbir urus negara terus berkembang dan diyakini pelabur serta rakyat.

“Apabila PRU16 semakin hampir, pengundi perlu menentukan sama ada mahu memberi ganjaran kepada kebisingan atau memelihara pembinaan negara.

“Kerajaan MADANI mungkin tidak sempurna, tetapi komited terhadap reformasi, akauntabiliti dan kestabilan,” jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 akan ditentukan menerusi mesyuarat parti gabungan tersebut.

Menurutnya, setakat ini BN kekal dengan pendirian untuk bertanding menggunakan lambang sendiri.

“Kalau kita pergi pilihan raya, kita tetap pergi di bawah Barisan Nasional.

“Soal kerjasama sebelum atau selepas itu akan dibincangkan dalam parti dan dalam BN,” katanya dipetik Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang meminta penjelasan mengenai strategi kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16.

Johari menjelaskan pembentukan Kerajaan MADANI selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah demi memastikan kestabilan politik dan mengelakkan kebuntuan pentadbiran negara.

Dalam konteks negeri, beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat termasuk di Melaka dan Sarawak.

Manakala sebelum ini, enam negeri telah mengadakan PRN berasingan pada Ogos 2023.

Pemerhati politik melihat pertembungan naratif menjelang PRU16 sebagai cabaran biasa dalam demokrasi matang.

Namun, keutamaan rakyat ketika ini adalah kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti dan kesinambungan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan.

Seiring dengan itu, pengundi diseru menilai fakta secara menyeluruh dan tidak terperangkap dalam politik sensasi demi memastikan negara terus bergerak maju dalam suasana aman dan stabil.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

 

Pautan Video: TOLAK PERSEPSI, PILIH KESTABILAN PRU16

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *