Pelantikan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) mencetuskan pelbagai reaksi politik.
Namun, pemerhati melihat langkah itu lebih menyerlahkan fasa penyesuaian dalaman berbanding lonjakan strategik ke hadapan.
Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu memutuskan pelantikan Menteri Besar Terengganu itu bagi menggantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang melepaskan jawatan Pengerusi pada hujung Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Mahiaddin sendiri menegaskan bahawa pelantikan tersebut tidak bermaksud Ahmad Samsuri adalah calon Perdana Menteri sekiranya PN memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Ini lantikan sebagai Pengerusi PN, bukan calon Perdana Menteri.
“Soal itu belum dibincangkan,” katanya dipetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama media di ibu negara pada Rabu.
Dalam politik moden, Pengerusi gabungan lazimnya dilihat sebagai wajah utama dan simbol kesiapsiagaan untuk mentadbir.
Apabila isu calon Perdana Menteri masih belum diputuskan secara jelas, ia memberi gambaran bahawa PN sendiri belum mempunyai naratif kepimpinan yang tuntas.
Walaupun Ahmad Samsuri diberi ruang dan peluang, persoalan yang timbul ialah sejauh mana rekod pentadbiran negeri mampu diterjemah sebagai model pentadbiran nasional.
Sebagai Menteri Besar Terengganu, negeri itu masih bergantung kepada hasil petroleum dan pemindahan fiskal daripada kerajaan Persekutuan.
Diversifikasi ekonomi dan kemasukan pelaburan berimpak tinggi pula belum memperlihatkan lonjakan struktur yang benar-benar signifikan untuk dijadikan sandaran sebagai model ekonomi alternatif negara.
Di Parlimen, kelibat beliau juga tidak begitu menonjol dalam perbahasan isu-isu besar ekonomi dan fiskal nasional.
Sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap kesiapsiagaan beliau di pentas politik peringkat Persekutuan.
Walaupun Mahiaddin telah melepaskan jawatan Pengerusi, kenyataan-kenyataan beliau yang tegas termasuk penolakan untuk bekerjasama dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menunjukkan pengaruhnya masih signifikan dalam menentukan hala tuju gabungan.
Ahli Parlimen Pagoh itu secara terbuka menyatakan beliau tidak lagi mempercayai Ahli Parlimen Larut berkenaan.
Mahiaddin turut menegaskan akan menolak sebarang usaha untuk membawa masuk semula tokoh itu ke dalam PN dalam masa terdekat.
Sehubungan dengan itu, situasi ini memperlihatkan bahawa PN masih bergelut dengan isu kepercayaan dalaman dan penyusunan kepimpinan.
Berbanding menampilkan satu barisan yang sepenuhnya padu dan bersedia menawarkan alternatif jelas kepada rakyat.
Dalam masa PN berdepan penyesuaian dalaman, Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus mengekalkan fokus kepada kestabilan ekonomi dan tadbir urus fiskal.
Langkah rasionalisasi subsidi, pengukuhan pelaburan strategik serta usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial dilihat sebagai pendekatan berasaskan data dan realiti ekonomi semasa.
Berbeza dengan polemik dalaman pembangkang, kerajaan hari ini menekankan kesinambungan dasar, kestabilan pasaran dan keyakinan pelabur sebagai asas pertumbuhan jangka panjang.
Gabungan yang mahu memerintah perlu mempamerkan tiga perkara utama iaitu rekod pentadbiran yang boleh diukur, kepimpinan yang diyakini tanpa ragu, dan struktur dalaman yang stabil.
Setakat ini, PN masih dalam proses menyusun semula barisan dan menentukan hala tuju kepimpinan tertinggi.
Tanpa penjelasan tuntas mengenai calon Perdana Menteri dan agenda ekonomi yang lebih meyakinkan, sukar untuk gabungan itu menampilkan diri sebagai alternatif nasional yang benar-benar kukuh.
Dalam politik, perubahan kepimpinan boleh menjadi titik kebangkitan.
Namun, tanpa kesepakatan dalaman dan naratif jelas, ia juga boleh menimbulkan persepsi bahawa penstrukturan semula hanyalah langkah menampung tekanan sementara.
Ketika PN terus berombak, kerajaan pula mengekalkan haluan dengan pendekatan stabil dan berperingkat satu faktor yang menjadi pertimbangan utama rakyat dalam menilai masa depan kepimpinan negara.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: PENGERUSI BAHARU, ARAH TUJU LAMA?