AGC SERU SIASATAN BEBAS DAKWAAN GULING KERAJAAN

Jabatan Peguam Negara (AGC) memandang serius laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendakwa wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan serta mengganggu gugat kestabilan negara.

AGC dalam satu kenyataan berkata, sebarang perancangan yang berunsur menggugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara merupakan suatu perkara yang menyentuh asas sistem demokrasi berparlimen serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Justeru tegasnya, siasatan hendaklah dijalankan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan menurut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

“Jabatan ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan proses perundangan yang sewajarnya dapat dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan tersebut.

AGC berkata, sebarang keputusan berhubung pendakwaan akan dibuat secara bebas dan objektif, berdasarkan fakta, keterangan serta pertimbangan undang-undang.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abd Munim menggesa pihak polis untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya benar wujud komplot berkenaan, ia merupakan ancaman luar yang tidak boleh dipandang ringan.

Apatah lagi jika terdapat watak pengkhianat dari dalam yang sanggup bersekongkol demi kepentingan peribadi.

Malah tegasnya, perkara ini telah menyentuh secara langsung soal kedaulatan dan maruah negara, dan tidak sekadar polemik atau rengekan biasa.

“Lantaran itu, wajar kita mendesak agar pihak PDRM segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang yang terlibat serta yang bersubahat tanpa mengira kedudukan.

“Kita tidak mahu lagi perkara sebegini dilihat sebagai helah politik.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan,” katanya di X dipetik Harapan Daily.

Terdahulu, media melaporkan, isteri kepada seorang bekas Menteri didakwa jadi dalang yang menggerakkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan dan Perdana Menteri.

Namun, pihak polis tidak mendedahkan siapa individu tersebut.

Sebelum itu, isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menafikan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan, menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau juga menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.

Sehubungan dengan itu, orang ramai menyokong tindakan pihak berkuasa mengesan tiga daripada empat anak bekas Menteri kabinet, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dipercayai melarikan diri ke luar negara.

Menurut respon yang disiarkan di media sosial, mereka turut meminta agar semua pihak membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah mengeluarkan notis pada Jumaat berhubung perkara itu.

“Semalam loyar tuduh Kerajaan bohong. Rupa-rupanya sudah siang-siang lari luar negara apabila komplot gagal dan maklumat bocor. Buru mereka sehingga dapat!” kata Ratz Ratz dipetik Harapan Madani.

Sopiee Salleh pula menulis, “Mungkin ketiga-tiga anak arwah Daim telah ke luar negara berjumpa pihak editor Bloomberg utk burukkan kerajaan Malaysia Madani di pentas dunia.

“Yang satu lagi berada di samping ibunya menutup perbuatan jahatnya di mata rakyat Malaysia,” katanya.

Netizen hangat mengulas perkembangan tiga daripada empat anak bekas Menteri kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dipercayai kini berada di luar negara, susulan laporan terkini daripada pihak berkuasa.

Terdahulu dalam penjelasannya, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim, berikutan kegagalan individu terbabit memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan pada 13 Februari lepas, Notis Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 telah diserahkan melalui firma guaman Tetuan Zharif Nizamuddin dan SPRM menerima permohonan lanjutan masa daripada pihak peguam pada 16 Februari.

“Sehubungan itu, SPRM telah memberi kata putus untuk penama-penama hadir ke pejabat SPRM pada 11 Mac ini tetapi sehingga 26 Feb lepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi penama juga tidak berjaya, peguam turut memaklumkan anak guam mereka berada di luar negara dan menghadapi masalah untuk berhubung dengan mereka.

“Enam kertas siasatan turut dibuka terhadap Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, Josephine Premla Sivaretnam dan empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin. Kesemua mereka disiasat kerana gagal mengisytiharkan aset secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, rekod Jabatan Imigresen (JIM), menurut Ketua Pengarahnya, Dato’ Zakaria Shaaban berkata tiga individu terbabit dikesan meninggalkan Malaysia pada akhir Januari dan awal bulan ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu dengan alasan siasatan berterusan oleh agensi antirasuah berkaitan tiga beradik tersebut.

“Ya, saya sahkan mereka sudah pun keluar dari Malaysia kecuali seorang yang buat masa ini tiada rekod pergerakan keluar dari negara.

“Lokasi keberadaan mereka tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan dijalankan oleh SPRM,” kata Zakaria seperti dipetik media tempatan.

JOMChannel mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengkhianat negara yang didakwa cuba mengguling kerajaan dan menjatuhkan kedaulatan negara.

Pengkhianat negara harus ditangkap dan dihukum tanpa ada sedikit pun perlindungan yang diberikan.

Semoga tindakan yang setimpal bakal dikenakan buat semua pihak yang terlibat tidak kira siapa pun.

 

Pautan Video: AGC SERU SIASATAN BEBAS DAKWAAN GULING KERAJAAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *